Monday, March 5, 2012

Muzik Rancak Kekuatan Stacy


ARTIS: Stacy

ALBUM: Stay-C

LAGU PILIHAN: Cemburu, Bosan, Gempur, Kapsul

EDARAN: Warner Music Malaysia

ALBUM kedua berjudul Stay-C milik penyanyi Stacy ini, simbol kepada perkembangan baru selepas kemunculan album pertama, Aku Stacy pada tahun 2008.

Dari segi kulit album dan foto-foto yang dipaparkan di dalamnya, Stacy menunjukkan kematangan menerusi gaya imej yang lebih dewasa dalam dirinya.

Bagaimanapun, dari sudut lagu-lagu yang dimuatkan pula, konsep muzik pop dan dance masih lagi dikekalkan.

Album ini memuatkan lapan buah lagu baru iaitu Kasanova, Cemburu, Bosan, Lalai, Kisah Dongeng, Kapsul, Gempur dan Pelangi Senja.

Menariknya, dengan hasil kerjasama komposer-komposer hebat seperti Edry Abdul Halim, Rudi Muhammad, Omar K, Audi Mok, Edrie Hashim dan Taja, Stacy mendapat input baru dalam melodi nyanyiannya.

Tidak boleh disangkal, muzik dance merupakan kepakaran Stacy yang lincah dan bertenaga dalam membawakan sesebuah lagu itu.

Justeru itu, lagu rancak seperti Kasanova, Cemburu dan Bosan bukanlah satu masalah untuk dia membawakan lagu-lagu tersebut, tambah pula, Stacy semakin bijak mengawal vokalnya yang mantap itu.

Pada pendapat OopStarz!, lagu Cemburu, yang dihasilkan oleh Kuncidemak manakala liriknya oleh Akim mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Mainan muzik dan melodi yang dinyanyikan membuatkan lagu tersebut kedengaran ‘seksi’. Liriknya juga mudah difahami.

Begitu juga dengan lagu Bosan ciptaan Omar K, muzik yang dihasilkan juga mempunyai kelainan. Kiranya, sekali dengar, pendengar sudah boleh ‘tangkap’ melodinya.

Manakala lagu Gempur juga merupakan sebuah lagu yang segar untuk didengarkan tambah pula ia dinyanyikan bersama dengan penyanyi legenda rock, Amy (Search). Selain muzik rock yang dibawakan, dari segi tersiratnya, terdapat satu semangat kehidupan dalam lagu tersebut.

Selain lagu-lagu rancak, lagu irama balada seperti Lalai, Kisah Dongeng dan Kapsul yang dibawakan Stacy, menarik didengar.

Cuma, walaupun lagu Kisah Dongeng ciptaan Edry menjuarai carta hit di stesen-stesen radio tempatan, pihak OopStarz! pula kurang menggemarinya lebih-lebih lagi korus pada lagu tersebut menyerupai lagu kumpulan Radja yang berjudul Jujur.

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...