Monday, December 10, 2012

Lagu sentimental pertama





ANTARA ramai bintang yang digilap menerusi program realiti TV popular, Akademi Fantasia (AF), Stacy adalah artis paling konsisten. Jika artis lain naik kerana gosip dan kontroversi semata-mata, ia sebaliknya buat Stacy kerana popularitinya juga seiring dengan bakat besar dimilikinya itu.


Itulah kelebihan anak kelahiran Penampang, Kota Kinabalu, Sabah yang juga pemilik nama sebenar, Stracie Angie Anam. Secara peribadi, Stacy, 22, berkata, bukan mudah untuk mengekalkan namanya dalam bidang seni tanah air tanpa usaha gigih dan kerja keras yang tidak sedikit.


“Saya bersyukur kerana nama terus bertahan dan masih wujud sepanjang tempoh enam tahun berkecimpung dalam bidang seni tempatan.

“Bukan mudah untuk kekal dalam bidang seni kerana setiap hari ada saja artis baru dan berbakat muncul mewarnai bidang seni. Justeru, saya perlu bekerja lebih keras lagi kerana jika lalai sedikit, pasti saya akan tertinggal di belakang.



“Saya juga anggap diri masih belajar dan setiap hari ada saja perkara baru dipelajari sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada dalam persembahan,” katanya.


Kerja keras Stacy selama ini nampaknya berbaloi kerana lagunya berjudul Pelangi Senja ciptaan komposer Taja dan lirik yang dihasilkan isterinya sendiri, Tun Teja tercalon dalam senarai 12 finalis lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu 27.

“Ia kali pertama lagu nyanyian saya yang berentak perlahan dicalonkan dalam AJL selepas tiga tahun lagu rancak yang dicalonkan.

“Bohonglah kalau saya kata tak nak menang kerana semua artis yang bertanding pun impi nak menang. Namun, semua barisan finalis yang bertanding pada AJL 27 ada peluang sama untuk menang kerana lagu mereka juga hebat. Saya pula hanya menjanjikan yang terbaik pada persembahan tapi yang menilainya adalah barisan juri,” katanya. 

Ditanya sama ada lagu Pelangi Senja ada kaitan dengan kisah cintanya sendiri, Stacy menafikan.

“Lagu Pelangi Senja dimuatkan dalam album kedua dan proses rakamannya pada tahun lalu. Ia juga tiada kaitan dengan kisah cinta saya. Ia kali pertama saya bekerjasama dengan Taja dan isterinya, Tun Teja. Saya suka dengan hasil karyanya kerana selain melodinya yang sedap, lirik yang ditulis isterinya juga sangat indah.

“Selain itu, lagu ini boleh dikaitkan dengan banyak perkara. Ia lagu sedih kerana menceritakan permintaan terakhir seorang lelaki yang sudah meninggal dunia ataupun permintaan terakhir daripada orang yang kita sayang tapi tidak sempat untuk meluahkannya.

“Contoh lain ialah lagu ini boleh dikaitkan dengan kes pembuangan anak yang juga gejala sosial yang berlaku di negara ini. Selepas membuang anak itu barulah mangsa itu menyesal dan berasa tertekan atas perbuatan yang dilakukannya di kemudian hari,” katanya.

Mengulas lanjut persiapannya pada AJL27, kata Stacy, dia akan memberi fokus dan ketengahkan aspek vokal kerana lagu Pelangi Senja adalah berentak perlahan.

“Jika nak diikutkan agenda seni padat dengan memenuhi undangan persembahan tapi saya tetap mencari masa untuk buat persiapan untuk AJL kali ini. 

“Seperti biasa, saya akan pastikan ‘all out’ dalam persembahan nanti supaya menarik perhatian juri dan penonton. Saya juga suka dengan konsep AJL 27 yang menggabungkan seni dan muzik kerana tema itu sesuai dengan lagu Pelangi Senja,” katanya. 

Tidak cukup dengan itu, nama penyanyi yang popular dengan lagu Kasanova dan Kisah Dongeng itu turut tersenarai dalam pencalonan awal menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2012. 

Seperti AJL 2012, sekali lagi penyanyi ini bersyukur kerana namanya tersenarai dalam pencalonan anugerah popular itu, saban tahun. 

“Apabila tercalon ia sudah cukup bermakna buat karier seni saya kerana peminat masih setia mengundi sejak dulu. Kalah atau menang soal kedua kerana ia bergantung pada rezeki seseorang artis itu. Saya juga tidak mahu letak harapan terlalu tinggi kerana jika kalah saya yang berasa kecewa nanti,” katanya.


Stacy impi konsert solo
SETIAP artis memiliki impiannya sendiri begitu juga Stacy. Impiannya yang masih belum tercapai ialah ingin mengadakan konsert solo berskala besar di negara ini. 

“Terlebih dulu, saya ingin kumpul lapan lagu terbaik sebelum bersiap sedia untuk mengadakan konsert berkenaan. Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum buat konsert kerana saya perlu meyakinkan orang untuk beli tiket terlebih dulu sebelum berani mengadakan konsert solo itu,” katanya. 

Menyentuh sisi peribadinya pula, Stacy nampaknya tidak dapat mengelak bila ditanya gosip cintanya dengan rakan seperjuangannya, Akim yang masih diperkatakan orang sampai sekarang.

“Apa yang boleh saya katakan kami masih berkawan baik dan saya belum bersedia untuk ke arah yang lebih serius. Apatah lagi, usia saya baru 22 tahun dan masih banyak lagi yang saya ingin capai dalam karier seni sebelum berfikir soal kahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09

Sumber : myMetro 

Saturday, December 8, 2012

Stacy pening tak dapat menari



Gadis ini sememangnya dikenali dengan aksi lincah di atas pentas setiap kali membuat persembahan.

Namun, Stracie Angie Anam atau Stacy, 22, mengakui ‘pening’ memikirkan persembahan yang bakal dibawa di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-27, 6 Januari ini.

Meskipun bukan asing lagi di pentas AJL, kata Stacy, bezanya ini kali pertama dia akan membawakan lagu berentak balada iaitu Pelangi Senja.

“Memang saya belum terfikir konsep persembahan, tetapi saya ada meminta bantuan pengarah klip video lagu ini, Ghaz Abu Bakar.

“Buat masa ini, saya serahkan kepada idea dia untuk mencorakkan persembahan nanti. Selebihnya, saya akan fikirkan kemudian,” katanya kepada Zass.

Walaupun sebuah lagi lagu nyanyiannya, Kasanova tidak berjaya ke peringkat akhir, Stacy berkata, dia tidak terkilan.

“Pada mulanya, memang rasa ralat kerana saya teringin untuk menari seperti kebiasaan.

“Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya dapat menumpukan perhatian penuh kepada satu lagu saja.

“Paling penting, saya dapat menunjukkan kekuatan vokal melalui lagu ini kelak,” katanya.

Jika dilihat penglibatan Stacy dalam AJL, sudah tiga kali dia ke pentas berprestij itu sebelum ini.

Namun, ternyata rezeki belum berpihak kepada anak kelahiran Sabah ini untuk merangkul sebarang anugerah.

Oleh itu, Stacy meletakkan harapan tinggi agar penyertaan kali keempat menerusi lagu ciptaan Taja dan lirik Tun Teja ini membuahkan hasil.

“Saya memang harap dapat menang kerana lagu ini mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rezeki dan saya serahkan keputusan kepada juri untuk menilai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Stacy mengakui jadualnya sangat padat menjelang hujung tahun ini.

“Sekarang saya sibuk dengan promosi AJL27 dan pelbagai undangan persembahan.

“Sepatutnya saya menyiapkan penggambaran klip video single terbaru, Bosan tetapi tidak sempat,” katanya yang akan melancarkan single itu, akhir Januari ini.

Sumber: Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...