Showing posts with label Astro Mania. Show all posts
Showing posts with label Astro Mania. Show all posts

Wednesday, April 25, 2012

Galaksi Mania Bakal Satukan Stacy Dan Morgan?




KL, 23 APRIL 2012: Ewah, ewah...Murai Batu tidak menyangka penulisan editor murai.com.my iaitu Razif Rosdi yang bertajuk Stacy Tawan Hati Morgan SM*SH mendapat perhatian ramai.

Malah Murai Batu lihat, banyak peminat Stacy merestui seandainya Stacy dan Morgan bercinta. Paling mengejutkan, Murai Batu tidak menyangka ada peminat menyifatkan kedua figura ini bersesuaian untuk berumah tangga kerana menganut agama yang sama. Siap ada yang mendoakannya sekali.

Sungguhpun ianya sekadar pandangan peminat, mungkin ia boleh jadi kenyataan sekiranya ia disebut berulang kali.

Yelah, kata orang, kalau sudah banyak kali disebut-sebut, ia sudah jadi seperti doa. Mungkin jua, cita-cita dan impian peminat Stacy boleh menjadi kenyataan selepas kedua-duanya berjumpa atau lebih tepat lagi bertentang mata.

Menyedari hakikat ini, Murai Batu difahamkan pihak produksi Mania berkemungkinan besar bakal memakbulkan apa yang diingini peminat Stacy.

Memandangkan Mania pada minggu depan memberikan tugasan yang mana setiap bintang untuk berduet dengan artis lain, Murai Batu mendengar, Stacy mungkin akan buat kejutan dengan berduet dengan menyanyi dan menari bersama Morgan. Eh betul ke?

Malah, ia mungkin terjadi memandangkan Stacy dan Morgan memang berasal dari genre muzik yang sama.

Bagaimanapun, Murai Batu tidak tahu, adakah ia mampu dilaksanakan atau pun tidak.

Ianya berikutan Morgan bukan menetap di Malaysia. Malah, Morgan yang juga ahli SMASH sangat sibuk melengkapi jadual harian sebagai penyanyi popular di Indonesia.

Apa sekalipun, sekiranya perkara ini terjadi, mesti galaksi Mania tambah gempak dengan gegaran tarian mempersona dari Stacy dan Morgan.

Mungkin jua, ia boleh jadi lebih hebat dengan gabungan Stacy sebelum ini bersama Adam menerusi lagu Menggegar Dunia.

Yang pentingnya, Murai Batu tergamam menyaksikan aksi dangdut Stacy yang sangat mengancam pada minggu lalu. Patutlah orang ramai sibuk mengatakan hanya Murai Batu pun nampak Stacy dan Jac seperti berlumba-lumba untuk menang.

credit: Murai 

Tuesday, April 17, 2012

Stacy Tawan Hati Morgan SM*SH




KUALA LUMPUR, 16 APRIL 2012: Tidak dapat dinafikan, peserta Mania di bawah empayar Datuk M Nasir iaitu Stacy telah mendapat perhatian lebih dengan menampilkan persembahan yang mantap setiap kali beraksi dalam galaksi program ini.

Bahkan, Stacy dilihat begitu komited dan sering saja mempamerkan mutu persembahan memukau yang boleh dilabelkan tahap Superstar.

Lantaran itu, portal murai.com.my mendapat tahu salah seorang ahli kumpulan ala K-POP dari Indonesia iaitu SMASH yang bernama Morgan sudah tertawan dengan penyanyi berkenaan.

Malah, Morgan yang baru saja membuat kunjungan ke Malaysia bersama-sama enam rakannya yang lain, teringin untuk bertemu dengan Stacy yang pernah digosipkan bercinta dengan Akim.

Bagaimanapun, Morgan menjelaskan dia bukannya ingin mencari publisiti murahan tetapi lebih kepada menghargai bakat yang dimiliki penyanyi kelahiran Sabah itu.

"Saya amat meminati Datuk Siti Nurhaliza. Jadi, saya teringin sangat mahu berjumpa dengan dia. Namun, apabila saya tiba di Malaysia, saya mendengar lagu Kasanova nyanyian dari Stacy, ianya terus membuatkan saya minat dengan Stacy.

"Saya sama sekali tidak menyangka, ada penyanyi sehebat Stacy yang mendendangkan lagu seperti itu. Saya juga teringin berjumpa dengan Stacy. Namun, masih belum ada peluang kerana lawatan saya di sini hanya seketika saja.

"Apapun, saya berharap peminat jangan salah sangka. Saya bukannya jatuh cinta dengan Stacy tetapi hanya terpersona dengan bakat dia saja walaupun saya ketika ini masih lagi belum mempunyai kekasih hati.

"Saya ucapkan terbaik buat Stacy dan harap dia boleh melakukan yang terbaik dalam Mania," kata Morgan kepada murai.com.my.

Dalam pada itu, sekiranya anda semua rasa Stacy layak bergelar juara Mania pertama, jangan lupa untuk mengundi Stacy.

Wednesday, March 28, 2012

Mania ASTRO - Aubrey Pilih 2 Wanita , Stacy Dicabar Abang Sendiri!



Konsert kedua Mania telah berlangsung sebentar tadi. Menampilkan 5 lagi artis termasuk seorang lagi pemenang Hot Seats Mania, pentas Studio 1 Astro dihangatkan dengan persembahan memukau para finalis Mania minggu ini. Kumpulan Kristal, Adira, Hafiz, Alyah serta Chaq memulakan rentak perjuangan mereka dalam rancangan yang akan mencetuskan evolusi hiburan tanahair ini.

Kumpulan Kristal memulakan tirai konsert kali ini dengan sentuhan tersendiri yang cukup bertenaga ke atas lagu nyanyian asal Wings, Opera Hidup. Gabungan bakat Razlan, Rodi, Acap, G.G dan Amai menghidupan roh lagu tersebut dan akhirnya, Datuk M Nasir memilih mereka menyertai pasukan Merah.

Setelah tiada yang ‘sangkut’ pada minggu lepas, Aubrey Suwito akhirnya terpikat dengan persembahan vokal memukau Adira menerusi lagu berhantu, Pulangkan. Adira yang tampil selaku penyanyi kedua yang membuat persembahan sebentar tadi menjadi ahli kumpulan Biru yang sulung. Selang beberapa minit kemudian, Aubrey menambah ahli kedua kumpulannya menerusi pemilihan Alyah.

Penyanyi yang mengungguli kategori persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu 26 ini memilih untuk menyanyikan lagu Russian Roulette yang dipopularkan penyanyi antarabangsa Rihanna. Pengalaman Alyah dalam bidang hiburan menyerlahkan keupayaan pelantun Kisah Hati ini di pentas Mania. Alyah menjadi pilihan Aubrey untuk meneruskan perjuangan kumpulan Biru.

Ahmad Dhani yang telah pun memilih 3 artis pada konsert pertama yang lalu menambah Hafiz ke dalam pasukannya. Rendisi tersendiri Hafiz dengan lagu nyanyian asal Letto, Permintaan Hati menarik minat Ahmad Dhani untuk berkerja bersama Juara Akademi Fantasia 7 ini.

Konsert Mania kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan peserta Hot Seats yang kedua. Chaq diumumkan sebagai salah seorang yang telah berjaya meraih undian tertinggi Hot Seats Mania telah menyanyikan lagu adiknya, Gagap dengan lagak tari penuh keyakinan. Dengan Datuk M Nasir yang telah pun diberikan amanah membimbing Ebi pada minggu lepas, kini nasib Chaq terletak di tangan Aubrey ataupun Ahmad Dhani.

Setelah berakhirnya konsert kedua Mania, Ahmad Dhani kini menantikan siapakah calon Hot Seats yang akan menyertai pasukan Hijau bersama-sama Hafiz, Atilia, Akim dan Estranged. Datuk M Nasir pula bakal memilih ahli keempat dan kelima kumpulan Merah yang akan berjuang bersama-sama Ebi, Stacy dan Kristal manakala Aubrey bakal melengkapkan baki 3 lagi artis di bawah pimpinannya.

Mania akan diteruskan minggu hadapan bersama persembahan Jaclyn Victor, Shila Amzah, Awi Rafael, Hazama dan seorang lagi pemenang Hot Seats Mania. Siapakah yang akan melengkapkan kumpulan ketiga-tiga penerbit muzik tersohor ini? Kepada siapakah Chaq akan diberikan? Semuanya akan dapat kita ketahui menerusi Mania!

Tuesday, March 27, 2012

Ahmad Dhani Kesal Tidak Pilih Alyah



Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2012: Menerusi konsert Mania minggu kedua yang diadakan di Studio 1, Astro Bukit Jalil pada 24 Mac lalu, penyanyi lagu Kisah Hati, Alyah dipilih produser Aubrey Suwito untuk berada di empayarnya.

Bersandarkan keputusan itu, Ahmad Dhani yang sudah mempunyai empat bintang dalam empayarnya mengakui berasa sedikit kecewa sebaik saja tamat siaran langsung minggu kedua Mania.

Ia berikutan, Ahmad Dhani tidak dapat memilih Alyah untuk berada dalam empayarnya.

Bagaimanapun, produser hebat dari Indonesia ini terpaksa akur dengan konsep program yang hanya memberi peluang seorang komposer memilih empat bintang dan seorang lagi bintang yang diserap masuk menerusi undian hot seat.

"Pada malam ini, saya suka dengan persembahan Alyah. Saya sukakan vokal Alyah. Namun, saya tidak bisa untuk memilihnya lagi kerana ruang kosong untuk saya tiada lagi.

"Selepas dua minggu konsert diadakan, minggu lalu saya merasakan persembahan Stacy paling bagus. Untuk minggu ini pula, saya meletakkan persembahan Alyah yang paling bagus. Saya rasa bagus kerana mereka mengikuti peredaran masa muzik.

"Terus-terang, saya merasa sedikit menyesal kerana tidak dapat memilih Alyah. Bagaimanapun, saya akan sunting Alyah untuk projek sebuah album yang melibatkan artis Malaysia dan Indonesia," katanya.

Menjelaskan tentang album itu, Ahmad Dhani memberitahu Stacy antara nama penyanyi dari Malaysia yang telah mengesahkan melibatkan diri.

"Untuk album ini, ada lima orang penyanyi Malaysia yang terlibat. Penyanyi yang sudah sah terlibat adalah Stacy. Dia pun sudah merakamkan lagu untuk album itu.

"Memandangkan saya tidak dapat memilih Alyah, saya akan mempelawa dirinya untuk terlibat dalam album ini. Nama penyanyi lain yang terlibat masih belum sah lagi kerana saya masih lagi mencari.

"Sejujurnya, setakat ini saya masih belum lihat bintang Mania yang mana betul-betul menonjol. Saya masih belum dapat klasifikan lagi," jelasnya.

Saturday, March 24, 2012

MANIA - Aubrey masih belum pilih



Minggu pertama Mania! bermula dengan 4 persembahan daripada 12 Selebriti Mania! dan satu persembahan daripada 3 peserta Hot Seats Mania! yang telah dipilih melalui "LIKE" di laman sosial Facebook. Namun apa yang menarik minggu ini ialah salah seorang Penerbit Muzik Mania! iaitu Aubrey Suwito masih belum memilih bintang yang akan mereka bimbing.

Penerbit Muzik Dato' M. Nasir telah membuat pilihan yang agak menarik apabila memilih Stacy yang terkenal dengan lagu-lagu berentak pantas. Menurut Dato' M. Nasir, beliau sudah lama ingin menari walaupun kurang mahir dalam bidang tersebut. Siapakah lagi Selebriti Mania! yang akan menyertai Kumpulan MERAH Dato' M. Nasir ini?

Konsert Minggu Pertama Mania! menjadi lebih menarik apabila sebahagian besar Selebriti yang membuat persembahan malam ini telah dipilih oleh Penerbit Muzik dari Indonesia iaitu Ahmad Dhani. Ahmad Dhani telah memilih Atilia, Kumpulan Estranged dan Akim sebagai ahli kumpulan HIJAU. Suasana menjadi begitu lucu apabila Aubrey Suwito mengatakan Ahmad Dhani tamak dalam memilih Selebriti Mania! malam ini.

Salah seorang daripada 3 peserta Hot Seats Mania! yang telah terpilih telah membuat persembahan malam ini. Ebi yang berasal dari Sabah memulakan persembahan mewakili peserta Hot Seats yang terpilih. Sebagai cabaran kepada kesemua Penerbit Muzik Mania!, peserta Hot Seats akan diberikan kepada Penerbit Muzik Mania! oleh tenaga produksi Mania! Malam ini, Ebi telah diberikan kepada Dato' M. Nasir untuk dibimbing dan digilap menjadi "Superstar"




Siapakah lagi 4 Selebriti Mania! dan seorang peserta Hot Seats yang akan membuat persembahan akan datang? Siapa pula Selebriti Mania! yang akan dipilih oleh Penerbit Muzik Mania! akan datang? Penerbit Muzik manakah yang akan menerima seorang lagi peserta Hot Seats Mania! Segalanya akan terjawab dalam Konsert Mingguan Mania, setiap Sabtu, 9 malam di Astro Ria (104)

MANIA - Langkah Stacy


Sesiapa sahaja pasti terpesona dengan kelincahan rentak tari dan langkah bergaya daripada gadis comel dari Sabah ini. Stracie Angie Anam atau lebih dikenali dengan nama Stacy merupakan juara Akademi Fantasia musim keenam. Beliau juga merupakan adik kepada salah seorang peserta Hot Seats MANIA! iaitu Chaq daripada program Mentor.

Meminati muzik rancak membuatkan sebahagian besar lagu-lagu yang dinyanyikan Stacy mempunyai rentak yang rancak. Bermula dengan "Aku Stacy", Stacy mengorak langkah seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi selepas itu. Lagu-lagu seperti "Gagap", "Pakai Buang", "Jahat" serta "Kasanova" serta merta menjadi hits di carta-carta radio Malaysia. Selain lagu rancak, Stacy juga menyanyikan beberapa lagu berentak perlahan seperti "Kisah Dongeng" dan "Pelangi Senja"

Keaktifan Stacy dan peminatnya di alam maya membuahkan hasil yang lumayan apabila Stacy memenangi anugerah Favorite Malaysian Female Online Celebrity dalam DiGi WWWOW Awards melalui laman sosial Facebooknya. Selain itu, Stacy juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Artis baru Wanita Popular di ABPBH 2008 dan Lagu pilihan Hotlink di Anugerah Juara Lagu 24 menerusi lagu Pakai Buang.

Siapakah penerbit muzik yang bakal memilih Stacy dalam MANIA! nanti? Adakah Stacy akan diletakkan di kumpulan yang sama dengan abangnya Chaq sekiranya beliau berjaya memasuki MANIA!?


Thursday, March 8, 2012

MANIA - Wawasan Awi Rafael



Meskipun baru sahaja melibatkan diri dalam industri muzik, lagu-lagu nyanyian Awi Rafael sering menjadi siulan anak-anak muda sekarang. Malah, lagu "Pulanglah" pernah menjadi salah satu lagu tugasan dalam Akademi Fantasia 9 yang dinyanyikan oleh salah seorang peserta Hot Seats MANIA! iaitu Kay.

Menimba pengalaman di luar negara, Muhammad Namawi Ewan bin Gunawan Rafael atau lebih dikenali sebagai Awi Rafael pernah merantau ke Australia untuk menimba pengalaman sebagai "buskers" di sana. Beliau juga pernah menjelajah bersama kumpulan Dewa yang diaggotai oleh penerbit muzik MANIA! iaitu Ahmad Dhani serta kumpulan Sheila On 7.

Awi Rafael muncul di radio tempatan dengan single "Pulanglah". Senilagu dan senilirik oleh Awi Rafael sendiri, "Pulanglah" dikoordinasikan oleh Dimas sebagai penerbit. Single yang disusun dalam rentak pop ini adalah berkisarkan tentang kisah cinta. "Pulanglah" merupakan luahan hati sang pencintayang menantikan kepulangan pujaan hati ke pangkuannya.

Sudah semestinya wawasan Awi Rafael adalah tidak mahu "pulang" terlalu awal dalam MANIA!. Keazaman dan kesungguhan Awi Rafael dalam dimensi muziknya nyata menaikkan lagi semangatnya untuk maju ke hadapan. 

MANIA - Evolusi Atilia



Menjadi Selebriti paling senior dari segi usia tidak menghalang penyanyi dan penulis lagu dari Johor ini untuk berevolusi menjadi Super Star! Atilia yang sangat sinonim dengan irama R&B menimba banyak pengalaman sepanjang hidupnya bergelar anak seni. Meskipun beliau terkenal dengan duet bersama Monoloq menerusi Kekanda Adinda, Atilia lebih selesa menyanyikan muzik-muzik jazz, soul dan yang seumpamanya.

Atilia memulakan kerjaya seninya sejak masih dalam usia kanak-kanak. Beliau memulakan perjalanan seninya dengan menyanyikan lagu-lagu tema untuk jenama-jenama terkemuka dunia seperti Coca-Cola dan Kentucky Fried Chicken. Ketika berusia 12 tahun, Atilia telah terpilih sebagai penyanyi utama untuk iklan Coca-Cola yang mewakili Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Pada tahun 1996, bakat luar biasa Atilia telah menarik minat "Sifu Soul" Malaysia iaitu Roslan Aziz. Bernaung di bawah Roslan Aziz Production memberikan banyak ruang kepada Atilia untuk terlibat dalam bidang seni secara mendalam. Beliau telah banyak melibatkan diri dengan beberapa nama seperti Amir Yusoff untuk album "Aquarius", Sasi the Don untuk album "The Tide is High" dan sudah tentunya bersama ibunya, Salamiah Hassan.

Mencuba sesuatu yang baru bersama salah seorang penerbit muzik hebat membuka peluang baru kepada Atilia untuk mencuba beberapa genre baru dalam nyanyiannya. Evolusi ini sudah tentunya bakal menyerlahkan lagi penyanyi ini dalam industi muzik Malaysia. 

Wednesday, March 7, 2012

Juara Mania bakal membawa pulang RM500,000!




MENOBATKAN yang terbaik daripada yang terbaik! Itu matlamat program terbaharu Astro berjudul Mania yang dijangka memanaskan industri hiburan seni tanah air.

Program ini bakal menyaksikan pertembungan hebat penyanyi-penyanyi tempatan berbakat besar yang akan bekerjasama dengan tiga orang komposer tersohor iaitu Datuk M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.

Program berkonsepkan pertandingan nyanyian ini bakal digamatkan lagi oleh Aznil Nawawi selaku hos.

Bakal berlangsung selama 10 minggu, Mania menampilkan 12 penyanyi tempatan yang sudah ada nama untuk bersaing sesama sendiri.

Mereka terdiri daripada Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Estranged, Adira AF8, Kristal dan Awi Rafael.

Kesemua mereka mempunyai satu matlamat iaitu untuk merebut gelaran juara Mania musim pertama ini.

“Berdasarkan pencapaian sebelum ini, kami melihat Astro telah berjaya melahirkan ramai pelapis yang berpotensi untuk bidang nyanyian, lawak jenaka dan lakonan.

“Kehadiran mereka ternyata bukan sekadar tempelan namun memberi impak besar kepada industri hiburan tempatan.

“Kami berharap program Mania ini bakal mencipta fenomena baharu dalam industri muzik kelak,” ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Kesemua 12 peserta ini juga akan dibimbing oleh M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito yang bukan sahaja bertindak selaku penerbit muzik tetapi mereka masing-masing turut diberi kuasa untuk memilih sendiri empat orang artis di bawah bimbingan mereka kelak.

“Pihak penerbitan Mania sangat berbesar hati apabila berjaya mendapat kerjasama daripada ketiga-tiga ikon terkenal ini untuk musim pertama.

“Saya yakin ia mampu memberi impak paling maksimum buat para penyanyi yang bakal bertanding dalam program ini.

“Dengan pengalaman dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing, kami percaya ia akan dapat memberi manfaat kepada para peserta. Persetujuan dan komitmen mereka sangat kami hargai,” kata Nizam Sani lagi.

Selain 12 artis tersebut, Mania juga akan menyerap tiga orang penyanyi lain menerusi pilihan melalui undian Hot Seat secara talian menjadikan jumlah keseluruhan peserta adalah sebanyak 15 orang.

Talian undian Hot Seat secara talian tersebut telah dibuka bermula 20 Februari lalu hingga 16 Mac ini. Orang ramai yang ingin mengundi boleh layari laman web www.mania.com.my.

Apa yang menariknya Mania akan menggunakan format pemarkahan 100 peratus undian penonton melalui sistem pesanan ringkas. Peserta dengan undian terendah akan tersingkir.

Bagi juara Mania kali ini bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai RM500,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima habuan wang tunai RM200,000 dan RM100,000.

Hadiah wang tunai sebanyak RM300,000 itu juga bakal dimenangi oleh penerbit muzik yang berjaya membimbing artis di bawahnya sehingga dinobatkan sebagai juara.

Mania musim pertama dijadual ditayangkan menerusi Astro Ria (saluran 104) pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam bermula 17 Mac ini.

Credit to Kosmo

MANIA - Jom kenali siapa Penerbit Muzik


AUBREY SUWITO


Sembilan musim yang lalu, kita sentiasa mendengar lagu keramat yang dinyanyikan oleh pelajar-pelajar yang ingin mengejar bintang dalam rancangan realiti nombor satu di Malaysia iaitu Menuju Puncak. Lagu tema Akademi Fantasia ini sentiasa menjadi pembakar semangat kepada semua pelajar dalam rancangan ini. Begitulah kehebatan yang ditunjukkan oleh pencipta lagu ini iaitu Aubrey Suwito.

Sejak berusia 6 tahun lagi, penerbit muzik yang berasal dari Melaka ini sudah mahir menggunakan alat muzik piano. Dengan bakat yang luar biasa ini, Aubrey Suwito mula mengorak langkah dalam bidang muzik apabila melanjutkan pelajaran dalam bidang ini di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat.

Komposer yang meminati irama "Jazz" ini telah banyak melibatkan diri dalam penggubahan dan susunan lagu di Taiwan, Hong Kong, Singapura dan juga Malaysia. Beliau juga telah menerbitkan 3 album yang menampilkan rangkaian muzik "Jazz" bersama-sama pemain muzik ternama seperti Fauzi Marzuki, Hillary Ang dan Steve Thornton.

Penglibatan Aubrey dalam dunia rangancangan realiti TV tidak dapat dinafikan apabila pernah terlibat dalam 3 rancangan realiti TV. Selain Akademi Fantasia sebagai komposer lagu tema, Aubrey juga pernah terlibat sebagai pengarah muzik Malaysian Idol dan One In A Million. Menuju Puncak hasil ciptaannnya juga telah digunakan sebagai lagu tema untuk Akademi Fantasi Indosiar yang berlangsung di Indonesia.

Salah seorang daripada 3 peserta Hot Seats MANIA! sudah pasti akan bernaung di bawah bimbingan Aubrey Suwito. Siapakah bintang yang bertuah itu? Teruskan undian anda di Hot Seats MANIA! sehingga 16 Mac ini. Layari www.mania.com.my untuk mengundi.





AHMAD DHANI


Sebut sahaja Separuh Nafas, Laskar Cinta, Dewi dan Sedang Ingin Bercinta, sudah pasti akan terlintas nama Ahmad Dhani yang merealisasikan lagu-lagu ini. Alunan muziknya, keindahan liriknya serta penyampaian yang cukup sempurna membuatkan lagu-lagu ini sentiasa menjadi siulan anak-anak muda di Malaysia.

Bintang Rock Indonesia ini dilahirkan pada 26 Mei 1972 di Surabaya. Dhani Ahmad Prasetyo atau dikenali sebagai Ahmad Dhani merupakan seorang penyanyi rock, penulis lagu, penggubah lagu serta penerbit muzik. Pernah mengetuai Dewa 19 dan Ahmad Band serta terlibat dengan ramai penyanyi muda yang sedang mencipta nama.

Sejak tertubuhnya Dewa 19 pada 1986, Ahmad Dhani menyusuri industri muzik dengan pelbagai jenis genre walaupun jiwanya tetap pada irama "rock". Setiap album yang dihasilkan oleh penerbit muzik ini sentiasa menjadi hits dan sangat popular. Antara album yang paling popular adalah Laskar Cinta yang diterbitkan pada tahun 2004.

Ahmad Dhani sememangnya ingin melibatkan diri secara serius dalam industri muzik di Malaysia dan ingin bekerjasama dengan ramai bintang-bintang ternama di sini. Melalui MANIA!, hasrat Ahmad Dhani pastinya akan tercapai disamping dapat berkongsi ilmu yang sudah pasti diimpikan juga oleh bintang-bintang muda Malaysia.

Salah seorang daripada 3 peserta Hot Seats MANIA! sudah pasti akan bernaung di bawah bimbingan Ahmad Dhani. Siapakah bintang yang bertuah itu? Teruskan undian anda di Hot Seats MANIA! sehingga 16 Mac ini. Layari www.mania.com.my untuk mengundi.





M. NASIR


Mohd Nasir Bin Mohamed atau lebih kita kenali sebagai M. Nasir telah dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Singapura. Beliau merupakan seorang penyair, komposer, penerbit album, pelakon, penyanyi juga pengarah filem. M. Nasir sangat terkenal dalam pembikinan dan penerbitan pelbagai jenis lagu untuk ramai penyanyi terkenal membuatkan beliau digelar Sifu.

Selain terlibat secara serius dalam bidang muzik, M. Nasir juga terlibat dalam pembikinan filem seperti Merah yang dilakonkan serta diarahkannya sendiri. Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa filem bermula dari Kembara Seniman Jalanan sehinggalah filem Magika sebagai Naga Tasik Chini.

Penghargaan yang diberikan kepada M. Nasir dalam dunia nyanyian sungguh menakjubkan. Hampir setiap kali diadakan Anugerah Juara Lagu, M. Nasir pasti memenangi lagu yang dipertandingkan. Terkini, beliau telah dinobatkan sebagai Juara di Anugerah Juara Lagu melalui lagu Awan Nano yang dinyanyikan oleh Selebriti MANIA! Hafiz.

Dengan penghargaan dan sumbangannya dalam bidang nyanyian ini, M. Nasir tela dikurniakan "Darjah Indera Mahkota Pahang" oleh Sultan Pahang yang membawa gelaran Dato'. Kini Dato' M. Nasir, seorang penerbit muzik tersohor sekali lagi bakal memberikan kehebatan dan magisnya kepada 5 bintang bimbingannya untuk melalui proses transformasi menjadi sorang "Super Star".

Siapakah di antara 12 peserta yang bakal dipilih oleh Dato' M.Nasir? Siapa pula antara 3 peserta Hot Seats yang akan terpilih menjadi anak didik Dato' M.Nasir? Nantikan MANIA!, mulai 17 Mac 2012 di Astro RIA.

MANIA - Semangat Akim



Dengan usia yang baru mencecah 18 tahun ketika memasuki Akademi Fantasia Musim Ketujuh, Afiq Hakim atau lebih dikenali sebagai Akim menjadi antara peserta termuda yang memasuki rancangan realiti nombor satu di Malaysia ini. Akim dan Aisyah yang terpilih dalam senarai Hot Seats MANIA! adalah yang termuda ketika mereka berada di Akademi Fantasia 7.

Meskipun sekadar tempat ketiga di Akademi Fantasia 7, Akim tidak pernah putus asa untuk memajukan dirinya terutamanya dalam bidang seni suara. Selain menyanyikan pelbagai jenis lagu untuk pelbagai jenis drama, filem dan jenama, Akim juga terlibat secara serius dalam penciptaan lagu sehingga beliau mempunyai studio rakamannya sendiri.

Selain bergiat aktif dalam bidang nyanyian, Akim juga pernah melibatkan diri dalam beberapa drama bersiri serta telefilem seperti Kau Dan Aku Musim Pertama dan Kedua (drama bersiri) serta Saham Neraka (telefilem). Terkini, Akim bakal muncul buat kali pertama di layar perak dengan filem muzikal Hoore Hoore yang akan muncul di pawagam tidak lama lagi.

Akim ternyata lebih bersemangat apabila terpilih memasuki MANIA! kerana berpeluang berguru dengan salah seorang penerbit muzik serta komposer yang ternama. Seiring dengan cita-citanya untuk menjadi komposer yang handal, Akim akan sentiasa fokus dan berusaha sebaiknya untuk berjaya dalam MANIA!

MANIA - Keazaman Adira



Gadis Kadazan-Dusun yang berasal dari Kundasang, Sabah ini mula mencatat nama dalam dunia hiburan selepas menjadi Naib Juara untuk musim kelapan Akademi Fantasia. Siti Adira Suhaimi atau dikenali sebagai Adira juga mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi pasangan adik-beradik pertama menyertai Akademi Fantasia pada musim yang sama.

Sepanjang perjalanan seninya, Adira pernah muncul sebagai finalis dalam Anugerah Juara Lagu ke 25 untuk lagu ciptaan Edry Abdul Halim iaitu Ku Ada Kamu. Namun, persembahan yang mengangkat dirinya setinggi yang mungkin melalui buaian di atas pentas tidak berjaya membawa pulang sebarang anugerah.

Lagu-lagu nyanyian Adira juga telah menjadi lagu latar untuk drama bersiri dan juga filem seperti Ilusi yang menjadi lagu tema Awan Dania musim ketiga dan lagu Ombak Rindu, duet bersama Hafiz yang menjadi lagu tema untuk filem Ombak Rindu. Selain itu, beliau juga pernah menyanyikan lagu tema rancangan realiti tarian iaitu Mari Menari, juga bersama Hafiz.

Seperti selebriti-selebriti MANIA! yang lain, Adira juga berazam untuk berjaya dalam program ini, namun apa yang lebih penting adalah pengalaman menjadi anak didik kepada salah seorang penerbit muzik tersohor tanah air. Itulah hadiah dan anugerah terbaik bagi dirinya sepanjang berada dalam MANIA!

MANIA - Kehebatan Alyah



Anugerah Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke 26 sudah pasti menjadi satu kenangan yang amat manis buat Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali dengan nama Alyah. Menerusi lagu Kisah Hati, persembahan yang menggunakan keseluruhan pentas dari atas hingga ke bawah ternyata suatu persembahan yang memukau.

Ramai yang kurang mengetahui bahawa perjalanan seni Alyah bukan bermula dari kemenangannya dalam Bintang HMI pada tahun 2000 iaitu pertandingan yang juga melahirkan bintang ternama iaitu Dato' Siti Nurhaliza. Alyah juga pernah merangkul gelaran Naib Juara dalam rancangan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1998 dan Juara Bintang Asli pada tahun yang sama.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang suatu ketika dahulu pernah menghasilkan satu lagi lagu yang dinyanyikan secara duet. Ku Pinjam Satu Bintang pernah dinyanyikannya bersama salah seorang peserta Hot Seats MANIA! iaitu Riz AF6. Meskipun lagu tersebut menimbulkan beberapa kontroversi, namun segalanya tidak mematahkan semangat Alyah untuk terus maju.
Menjadi sebagaian daripada Selebriti MANIA! adalah sesuatu yang sungguh membanggakan. Ternyata kehebatan anak Johor ini memberikannya peluang untuk digilap dan terus dijadikan Super Star! Siapakah di antara 3 penerbit muzik ini yang akan merebut Alyah untuk dijadikan anak didik? Teruskan bersama kami di www.mania.com.my

Thursday, February 23, 2012

Akim Memilih ?



Haniff mewakili ERA TV sempat bertanyakan kepada Akim, sekiranya dia dapat memilih penerbit, siapakah diantara 3 penerbit terkenal tersebut akan menjadi pilihan Akim? Adakah pilihan pertama Akim Dato' M. Nasir, yang kedua Aubrey Suwito atau yang ketiga Ahmad Dhani? 

Akim mengakui tidak memilih penerbit, tetapi mahukan yang terbaik! Menurut Akim dia mahu belajar dengan Aubrey Suwito. Betul ke? 

Haniff juga turut bertanya adakah Akim akan rasa tercabar dengan kehadiran Stacy yang turut terpilih dalam barisan selebriti Mania yang menjanjikan wang RM500,000 sebagai hadiah utama ini?

Semua jawapan itu ada dalam video sempoi di bawah ini...




MANIA - Video Rakaman Peserta Hot Seats (Part 2)

Saksikan video rakaman peserta-peserta Astro Mania!

Fiq


Idayu


Lena


Maulana


Mohd


Nadia


Noni


Riz


Shawal


Toi

MANIA - Video Rakaman Peserta Hot Seats (Part 1)

Jom saksikan video-video yang dirakam sendiri oleh peserta-peserta Astro Mania .

Chaq dan Stacy!!


Aishah


Akma


Aril


Azri


Chaq


Daus


Ebi


Erul


Kay


Fina

Alasan Faizal Tahir Tak Sertai Mania



KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2012: Sebaik saja program Mania yang bakal dikendalikan Aznil Hj Nawawi mulai 17 Mac depan diumumkan, banyak maklum balas diterima, tidak kira negatif ataupun positif.

Perdebatan paling memuncak, tentunya berkenaan pertikaian pemilihan 12 peserta dan artis yang diletakkan dalam kedudukan hot seat.

Bagaimanapun, portal murai.com.my diberitahu, penyanyi popular, Faizal Tahir dan Black sepatutnya turut berada dalam kedudukan 12 peserta Mania.

Namun, dua figura itu tidak pula tersenarai sebagai peserta. Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah Faizal Tahir dan Black menarik diri di saat akhir?

Menjawab pertanyaan ini, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, ramai penyanyi popular tempatan telah dilamar untuk menyertai Mania.

Walaupun begitu, nama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Awie langsung tidak diletakkan dalam senarai kerana mereka sudah pun bergelar superstar.

"Kami telah mendekati dan berbincang dengan ramai artis untuk melibatkan diri dalam program ini. Dari banyak-banyak nama itu, Faizal Tahir dan Black memang berada dalam senarai kami. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak dapat menyertai Mania kerana mempunyai komitmen yang bertindan.

"Kalau saya tidak silap, Faizal Tahir akan sibuk dengan program Mentor.

"Pemilihan 12 peserta ini dibuat berdasarkan penilaian dan kajian yang telah kami lakukan sebelum ini.

"Untuk membezakan 12 peserta dan hot seat senang saja. Kesemua 12 peserta ini dipilih berdasarkan keaktifan mereka sepanjang dua tahun sebelum ini.

"Ditambah pula dengan lagu yang dinyanyikan mereka berada dalam carta popular selain pernah memenangi pelbagai anugerah.

"Manakala hot seat pula adalah artis yang agak senyap dalam industri muzik tempatan tetapi mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian," katanya kepada murai.com.my.

Dalam pada itu, Nizam turut menyangkal bahawa program Mania mempunyai persamaan dengan program terbitan Astro iaitu Ikon dan program popular di Amerika Syarikat, The Voice.

"Saya rasa program ini langsung tidak sama dengan program yang dikatakan itu.

"Sebelum kami mendapat idea untuk menerbitkan Mania, kami sendiri telah merujuk dan mendaftar kepada pihak Frape.

"Pihak ini akan menilai dulu sama ada sesebuah program itu ada menyerupai mana-mana program di seluruh dunia atau pun tidak.

"Kami juga telah mendaftar format kepada Justin Scrogie iaitu orang yang diamanahkan untuk memastikan sesebuah program itu ciplak atau pun original.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang komen dan semuanya berjalan lancar serta diluluskan.

"Sejujurnya, kami mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan kelulusan format dan pengiktirafan.

"Syukurlah segalanya yang dirancang menjadi," jelasnya.

Sementara itu, Mania yang akan disiarkan secara langsung di Astro Ria pada jam 9 malam, bakal diadakan di Studio 1, Astro, Bukit Jalil dari minggu pertama hingga ketiga. Manakala lintas langsung dari minggu ke empat dan seterusnya akan dijalankan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Mania - Hot Seats


Undian Hot Seats MANIA! Telah Bermula! Fenomena MANIA! bermula dengan penyenaraian 20 peserta yang akan merebut 3 tempat melalui undian peminat.

Peminat berpeluang memilih peserta kegemaran anda untuk menyertai 12 peserta MANIA! yang telah terpilih. Mereka hanya perlu LIKE laman Facebook MANIA! di http://www.facebook.com/ManiaAstro terlebih dahulu dan mengundi mana-mana peserta pilihan mereka.

Undian hanya boleh dibuat sekali sahaja bagi setiap 20 peserta Hot Seats. Tempoh undian bermula jam 5 petang, 20 Februari 2012 sehingga jam 12 tengah malam, 16 Mac 2012.

Mania merupakan satu rancangan hiburan bercorak pertandingan nyanyian melibatkan artis-artis terkemuka tanahair masa kini. Sesuatu yang unik mengenai Mania ialah ianya akan menggandingkan para artis hebat ini dengan ikon-ikon penerbitan muzik yang gah dalam industri muzik.

Sepanjang 10 minggu pertandingan ini berlangsung, para penonton akan dapat menyaksikan hasil gandingan artis terkenal dengan ikon penerbitan muzik ini di pentas. Siapa yang terhebat di antara artis-artis hebat ini? Anda selaku penonton yang akan menentukannya melalui undian SMS anda.



MANIA MENCETUSKAN REVOLUSI SUPER STAR!



Bagi mencapai matlamat untuk mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju utama kandungan dalam dunia penyiaran, Astro dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi projek hebat berjudul Mania yang bakal menggegarkan industri muzik tanah air. Program yang akan menyaksikan pertembungan sengit penyanyi-penyanyi hebat berbakat besar yang akan bekerjasama dengan penerbit muzik tersohor di rantau ini bakal bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu jam 9.00 malam bermula 17 Mac 2012 secara eksklusif di saluran 104.

Berkonsepkan pertandingan nyanyian, program Mania ini akan dikemudikan oleh Aznil Haji Nawawi yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara selama 10 minggu bersiaran.
Program Mania bakal menyaksikan dua belas (12) penyanyi terkenal iaitu Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Kumpulan Estranged, Adira AF8, Kumpulan Kristal dan Awi Rafael yang akan berentap untuk membuktikan bakat dan kebolehan menyanyi masing-masing sekaligus dinobatkan sebagai juara di kalangan yang terbaik.

Tiga (3) orang ikon muzik tersohor telah diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai penerbit muzik untuk program Mania yang mana empat (4) orang penyanyi akan diletakkan di bawah bimbingan dan pemerhatian mereka. Mereka juga diberi kuasa untuk memilih sendiri penyanyi-penyanyi yang akan dibimbing kelak. Ikon-ikon tersebut adalah Dato’ M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.

Uniknya program ini, sebanyak tiga (3) orang penyanyi lagi akan diserap masuk menyertai pertandingan ini yang akan dipilih menerusi undian Hot Seat secara online, menjadikan jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 15 orang. Penyanyi-penyanyi yang terpilih ini juga akan diletakkan di bawah bimbingan penerbit muzik terlibat yang akan ditetapkan sendiri oleh pihak Astro.

Tempoh talian undian Hot Seat secara online akan dibuka bermula pada 20 Februari 2012 sehingga 16 Mac 2012, jam 12.00 tengah hari. Untuk mengundi, orang ramai hanya perlu melayari laman sesawang rasmi program Mania di www.mania.com.my. Para peminat kini boleh menilai dan mengundi calon-calon peserta yang digemari untuk diserap masuk ke program Mania.

20 orang penyanyi yang akan dipilih menerusi undian secara online adalah Idayu (AF2), Akma (AF3), Noni, Ebi, Shawal (AF5), Riz, Toi, Nadia (AF6), Aishah, Aril (AF7), Daus, Maulana (AF8), Azri, Kay, Lena, Erul, Fina (AF9), Chaq, Fiq dan Mohd (Mentor).

Program Mania akan menggunakan format pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang mana peserta dengan undian terendah setelah talian ditutup di akhir konsert mingguan pada setiap minggu akan tersingkir. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa di saluran Astro Ria.

Juara Mania bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000. Manakala naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing akan memenangi RM200,000 dan RM100,000. Bukan itu sahaja, penerbit muzik yang berjaya membimbing mana-mana penyanyi di bawah pengawasannya sehingga dinobatkan sebagai juara juga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, 000.

Jangan lupa saksikan program Mania menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu jam 9.00 malam bermula 17 Mac 2012 secara eksklusif di saluran 104!




MANIA


Sebuah lagi rancangan realiti bakal mencetuskan fenomenanya tersendiri. MANIA! bakal menemui penonton Mac ini dengan barisan artis dan ikon penerbitan muzik terkemuka di Malaysia.

Mania merupakan satu rancangan hiburan bercorak pertandingan nyanyian melibatkan artis-artis terkemuka tanahair masa kini. Sesuatu yang unik mengenai Mania ialah ianya akan menggandingkan para artis hebat ini dengan ikon-ikon penerbitan muzik yang gah dalam industri muzik.

Sepanjang 10 minggu pertandingan ini berlangsung, para penonton akan dapat menyaksikan hasil gandingan artis terkenal dengan ikon penerbitan muzik ini di pentas. Siapa yang terhebat di antara artis-artis hebat ini? Anda selaku penonton yang akan menentukannya melalui undian SMS anda.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...