Friday, August 25, 2017

Lagu baru Stacy sarat mesej - Sinar Harian


PENYANYI lincah yang mula dikenali selepas menjuarai Akademi Fantasia musim keenam, Stacy, 27, kini sedia kembali memeriahkan industri seni tanah air setelah hampir setahun berehat daripada sebarang aktiviti nyanyian. 

Terkini, bintang berasal dari Sabah ini bakal tampil dengan single terbaru, Cakap Ke Tangan hasil ciptaan suaminya sendiri, Akim Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pena Hang Nedim bersama Laq. 

Terdahulu, kebanyakan bait-bait lirik daripada barisan lagu nyanyian Stacy lebih cenderung percintaan dan kekesalan dalam hubungan.

Bagaimanapun, bagi menyuntik pendekatan berbeza, lirik single Cakap Ke Tangan mempunyai mesej mendalam buat segelintir masyarakat yang sering menilai kekurangan orang lain sebelum melihat kelemahan yang ada pada diri sendiri.


Berkongsi mengenai lagu barunya itu, Stacy yang terlebih dulu dikenali dengan lagu Kasanova dan Pelangi Senja memberitahu, Cakap Ke Tangan merupakan hadiah istimewa daripada suami. 

“Saya gembira dengan lirik dan alunannya kerana menepati cita rasa saya. Walaupun sudah lama tidak beraksi di atas pentas, saya masih seperti dahulu kerana nyanyian dan tarian adalah jiwa, memberikan kepuasan. 

Selagi masih ada yang percaya kepada bakat dan mahukan saya untuk terus mewarnai industri dengan kebolehan yang ada, selagi itulah saya akan terus di sini menghiburkan semua,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi ini juga mahu memberi motivasi kepada peminat bahawa mereka perlu yakin dalam hidup dan tidak perlu takut dengan pandangan serong yang sering dilemparkan segelintir masyarakat. 

“Sepanjang karier bergelar anak seni, saya sudah lali dengan asam garam dunia hiburan serta pernah diuji dan turut kecaman netizen, terutama di laman media sosial. Sebagai artis, segala gerak geri saya menjadi perhatian sehingga kadang kala menjadi bahan cerita yang kurang enak. 

“Saya enggan ambil pusing, tapi ambil semua itu sebagai penguat semangat untuk bekerja lebih keras untuk cemerlang dalam membina jenama sendiri,” luah Stacy yang turut mengajak peminat untuk sentiasa berfikiran positif dan abaikan aura negatif yang akan mencelarukan kehidupan seharian.

Harap terbaik 
Mengharapkan lagu ini akan disukai pendengar, Stacy juga tidak sabar untuk menantikan apakah reaksi peminat terhadap single barunya itu. 

Ketua Muzik Label, Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd, Adam Lobo pula memberitahu, Stacy merupakan penyanyi yang mempunyai motivasi tinggi. Semangat dan etika kerjanya amat dihormati dan perlu dipuji. 

“Stacy juga sentiasa berkongsi idea untuk menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti agar mudah diterima peminat. Kelainan yang dibawanya melalui Cakap Ke Tangan adalah menerusi mesejnya yang mendalam. 

"Menerusi konsep muzik bertenaga dan ringkas ini, pihak pengurusan berharap agar peminat menggemari dan teruskan menyokong kerjaya seni Stacy,” harap Adam optimis.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...