Sunday, November 9, 2014

Cara Nyanyian Dikritik, Stacy Minta Penulis Lirik Faham Konsep!



“Saya hanya memenuhi permintaan pihak penganjur (TV3) yang mahukan kelainan daripada saya untuk membawakan lagu Cindai.

“Sebab itulah jika anda perasan, lagu nyanyian asal Dato’ Siti Nurhaliza itu telah telah digubah susunannya dengan sedikit ‘fast’ untuk menyuntik kelainan,” kata Stacy ketika dihubungi Astro Gempak pada Sabtu.

Stacy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Astro Gempak mengenai isu yang tercetus selepas Penulis Lirik lagu Cindai, Hairul Anuar Harun mengkritik cara nyanyiannya ketika membuat persembahan di malam Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada malam Jumaat.

Sungguhpun cara penyampaiannya pada malam tersebut telah dikritik, Stacy tidak sedikitpun menyalahkan penulis lirik terbabit.

Stacy juga lebih selesa mengambil pendekatan positif dengan menganggap penulis lirik tersebut ‘bermungkinan’ tidak memahami konsep yang cuba ditampilkan. 

“Mungkin dia tidak faham makna konsep. Lagipun jika penganjur tidak mahu kelainan, pasti mereka sudah memanggil Dato' Siti untuk menyanyikan lagu itu. Sama juga macam Lan, dia menyanyi lagu Siti dengan caranya yang tersendiri,” ujarnya.

Menjawab dakwaan tidak hafal lirik dan menyanyi secara sembrono, penyanyi berusia 24 tahun itu berkata tuduhan tersebut tidak berasas.

“Saya harap dia boleh dengar dan tonton semula persembahan saya…Saya hanya ulang satu perkataan sahaja. Tidak wajarlah dia cakap saya main ‘hentam’ sahaja ketika menyanyikan lagu tersebut”, katanya  dalam nada kesal.

Dalam pada itu Stacy turut meluahkan rasa kecewanya apabila penulis lirik berpengalaman tersebut mengeluarkan perkataan kesat dan menganggap ia perbuatan yang tidak profesional.

Bagi Astro Gempak pula, percubaan Stacy menyanyikan lagu Cindai dalam versinya yang tersendiri wajar diberikan pujian kerana ia telah disampaikan dengan baik, tambahan pula irama tradisional bukan genre nyanyiannya.

Ia juga boleh dilihat sebagai usaha seorang artis muda untuk menyanyikan lagu berentak irama Malaysia.

Malah Astro Gempak perasan sejurus selepas persembahan,  Stacy telah memuat naik sekeping foto berserta permohonan maaf sekiranya 'Cindai' versi nyanyiannya itu tidak sesempurna penyanyi asalnya.

Itu membuktikan Stacy menghormati versi asal lagu tersebut dan sebenarnya memenuhi permintaan penganjur yang mahukan lagu Cindai disuntik kelainan!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...