Wednesday, August 2, 2017

Stacy cabar diri nyanyi lagu ciptaan suami



KUALA LUMPUR: Penyanyi, Stacy memilih single baharu berjudul 'Cakap Ke Tangan' karya suaminya, Akim Ahmad, sebagai pertaruhan untuk kembali bergerak aktif dalam seni selepas Aidilfitri nanti.

Stacy, 26, atau nama penuhnya, Ummu Shaikah Stacy Anam berkata, lagu berentak rancak itu dipilih sebagai inisiatif untuk mencabar dirinya kembali menyanyi dan menari selepas berehat panjang bagi melahirkan cahaya mata perempuan, Eshaal, yang kini berusia tiga bulan.

"Kini, tinggal lima kilogram saja lagi untuk dikurangkan bagi mendapatkan berat badan ideal. Bukannya apa, saya tidak mahu nanti semput ketika mengadakan persembahan. Oleh itu, saya kini bersenam dan mengamalkan diet sebagai persiapan untuk kembali aktif menyanyi.

"Single terkini berjudul 'Cakap Ke Tangan' baru saja dihasilkan oleh Akim secara spontan, beberapa hari lalu. Biarpun mengambil risiko menyanyikan lagu rancak selepas lama berehat, namun saya rasa inilah caranya untuk mencabar diri.

"Kalau tidak, sampai bila-bila pun saya takkan bersedia. Oleh itu, saya perlu membuat persediaan fizikal dan mental untuk kembali aktif seperti zaman bujang dulu," kata Stacy ketika ditemui pada majlis buka puasa anjuran kelab peminat beliau bersama The Majistret di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga pada 5 Februari tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah. Mereka turut mempunyai anak perempuan bernama Bella Luna yang kini berusia lima tahun.

Dalam pada itu, Stacy menjelaskan beliau lebih selesa menguruskan keperluan dan menjaga anaknya sendiri daripada menghantar mereka ke pusat asuhan.

Biarpun mempunyai pengasuh, namun Stacy menyerahkan tanggungjawab itu kepada ibunya andai sibuk dengan urusan kerjaya seni.

"Pelbagai isu yang timbul membuatkan saya trauma untuk menyerahkan anak yang masih kecil kepada pengasuh atau ke rumah asuhan. Enggan mengambil risiko begitu, saya lebih selesa melihat anak membesar di depan mata dengan bantuan ibu," kata Stacy.

Credit: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...