Wednesday, September 6, 2017

Stacy promosi lagu baharu


Sewaktu zaman anak daranya, artis wanita ini tidak syak antara penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu rancak. Setiap kali memperkenalkan single baharu berentak dansa, ia mendapat perhatian peminat dan sebahagiannya pula berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu. 

Malah, Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 27, turut memahat namanya dengan beberapa lagu balada. Kemampuannya membawakan kedua-dua rentak menjadikannya antara bintang versatil di pentas nyanyian. 

Namun, sejak hamil anak pertama hasil perkahwinannya dengan penyanyi, Akim Ahmad, sehinggalah bayi comel diberi nama Eshaal itu dilahirkan, Stacy bagai ‘bersara’ seketika dari bidang seni suara. 

Permata hatinya itu kini sudah pun berusia enam bulan dan Stacy juga bakal membuat kemunculan semula dengan memperkenalkan single ciptaan suaminya sendiri berjudul Cakap Ke Tangan. 

Hanya tanggapan 
Begitupun, kedengaran desas-desus mengatakan vokal juara Akademi Fantasia (AF) musim keenam itu tidak lagi sehebat ketika dirinya belum menjadi ibu. Ada juga cakap-cakap mengatakan, beliau tidak lagi boleh menyanyi dengan baik selepas melahirkan Eshaal. 

Enggan bermain dengan teka-teki, HIP menghubunginya bagi mendapatkan jawapan pasti daripada empunya diri. Baiklah mendengar sendiri kenyataan daripada Stacy daripada mempercayai kata-kata sebelah pihak saja. 

“Selepas melahirkan anak, sejujurnya saya sendiri ingat takkan dapat menyanyi dengan mudah seperti dulu. Maklumlah, ramai juga yang bertanggapan sedemikian. Padahal, semua tanggapan itu hanyalah mentaliti yang seakan-akan menakutkan diri sendiri. 

“Pada mulanya saya memang risau juga dengan senario berkenaan. Iyalah, bidang nyanyian ialah mata pencarian saya. Namun alhamdulillah, saya masih boleh menyanyi dan merakamkan single baharu, Cakap Ke Tangan, selepas musim raya Aidilfitri lalu. 

“Insya-allah, saya masih boleh menyanyi seperti biasa,” katanya. 

Nyanyi lagu ciptaan Akim 
Bercerita mengenai lagu terbarunya itu, Stacy mengaku teruja apabila dapat menyanyikan sekali lagu hasil ciptaan Akim, yang menggunakan nama penanya Hang Nadim. Lagi Cakap Ke Tangan dicipta penyanyi dan komposer itu bersama Laq. 

Dengan munculnya lagu terbabit, ia juga umpama titik noktah bagi fasa berehat wanita ini selepas kelahiran si kecil tersayang. Kini, beliau kembali rancak mempromosikan lagu berkenaan. 

“Ini lagu kedua ciptaan suami yang dirakamkan oleh saya selepas Romeo. Ketika ini, saya sudah mula mempromosikannya. 

“Video muziknya juga sudah sepatutnya dirakamkan, namun ia ditunda sehingga 28 Ogos, dek masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya yang mengaku proses penerbitan lagu itu juga lebih mudah apabila ia dilakukan bersama suami sendiri. 

Serlah sisi lebih matang 
Ujarnya, Akim lebih terbuka dalam menerima input atau idea yang beliau rasakan sesuai untuk mantapkan lagu berkenaan. Jadi, beliau tidaklah hanya menurut arahan semata-mata. 

“Malah, pembabitan kali ini juga buat saya jadi puas, termasuk dari segi konsep lagu itu sendiri. Ia masih berpaksikan pop dansa, cuma tidak terlalu berat seperti lagu rancak saya sebelum ini. Ia juga boleh saya katakan meneruskan apa yang pernah saya lakukan menerusi lagu Not For Sale yang dirakamkan pada 2015. Cuma, rasanya ia lebih susah jika diukur dari banyak segi, berbanding lagu berkenaan. 

“Seiring dengan status saya sebagai isteri dan ibu, saya terus menampakkan sisi kematangan dalam banyak aspek. Ia termasuk dalam soal bergaya yang lebih menampakkan sisi kewanitaan. Ikutkan, sejak Not For Sale lagi sisi matang itu diserlahkan. Cuma, dengan fasa baharu saya sekarang, ia dirasakan semakin bertambah,” katanya. 

Ajak peminat berfikiran positif 
Menurut Stacy, lagu berkenaan dihasilkan bagi mereka yang gemar bercakap kosong, golongan pembenci atau haters dan mereka yang kuat membebel.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...