Wednesday, September 6, 2017

Beri peluang teman AF bersaing


KUALA LUMPUR: Ketiadaan wajah popular dalam himpunan 24 bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia (AF) yang bersaing di pentas AF Megastar seperti diumumkan Astro, minggu lalu, mencetuskan tanda-tanya netizen. 

Peminat tercari-cari wajah bekas juara AF seperti Mawi, Stacy, Hafiz dan Hazama yang rata-rata lebih menyerlah dalam karier nyanyian, untuk bertanding dalam program reunion terbabit. 

Menghubungi Stacy, penyanyi kelahiran Sabah itu menjelaskan alasan dan prinsipnya tidak menyertai AF Megastar. 

"Saya bukan tak mahu 'reunion' dengan bintang AF lain. Jika ikutkan hati, memang teringin apatah lagi dapat berjumpa semula kawan-kawan lama. 

"Namun, selepas memikirkannya, saya memutuskan biarlah peluang itu diberi kepada orang lain. Biarlah mereka diberi keutamaan, bukan saya. 

"Sudah 10 tahun saya diberi sedikit kelebihan dan berada dalam kedudukan sendiri di pentas seni, ..biarlah saya teruskan perjalanan saya ini," katanya kepada BH Online. 

Bakal mementaskan konsert pertama, Ahad ini, AF Megastar antara lain membariskan bekas juara seperti Zahid yang memenangi AF2, Faizal (AF4), Milla (AF5), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014), Sufie (AF2015) dan Amir (AF2016). 

Stacy memberitahu, dia juga sibuk dengan promosi single terbaharunya, Cakap Ke Tangan selain menguruskan keluarga dan anak hingga tiada masa untuk menyertai AF Megastar. 

Isteri penyanyi Akim Ahmad itu kembali aktif selepas berehat panjang kerana melahirkan anak sulung, Eshaal yang kini berusia enam bulan.

Credit: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...