Sunday, November 2, 2014

Album terbaik 2014 milik siapa?


2 Nov – Senarai calon lima terbaik finalis Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun ini telah pun diumumkan baru-baru ini dan pastinya peminat industri muzik tanah air tidak sabar untuk mengetahui keputusan penuh pada malam kemuncak nanti.

Majlis anugerah pencapaian dan penghargaan terhadap industri muzik tempatan ini bakal menemui penonton pada hari Sabtu, 6 Disember depan bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Setelah dilihat pada senarai calon pemenang, terdapat beberapa kategori utama menyaksikan pertembungan di antara penyanyi lama dan baru dalam merebut trofi dan di antaranya adalah kategori Album Terbaik.

Sebelum kita mengetahui penjulang trofi sebenar di malam gemilang AIM ke-21 nanti, ayuh kita lihat siapakah yang telah tercalon sebagai penerima Album Terbaik pada kali ini!

Stacy (#1) 
Penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-6 ini sememangnya terkenal dengan kelincahan tariannya yang hebat dan bertenaga apabila melakukan persembahan di atas pentas.

Tampil dengan album berjudul #1, Stacy yang kini berusia 24 tahun menjelaskan tajuk album tersebut dipilih kerana mahu sentiasa meningkatkan mutu persembahannya dan ingin menjadi terbaik di antara yang terbaik.

Pemilik nama Stracie Angie Anam ini turut menghasilkan lirik buat lagu berjudul "Gilalah" dan turut berduet bersama kumpulan Smash menerusi lagu "Hello" di dalam album berkenaan.
Selain dua buah lagu, album ini turut menampilkan lapan lagi buah lagu termasuk #1, "Jeritan", "Gadis Dalam Aku", "Not For Sale" kolaborasi bersama Altimet, "Lari", "Patah", "Paranormal" dan "Tertanya".


Salamiah Hassan (Aku) 
Siapa sangka penyanyi veteran berusia 63 tahun ini masih lagi mampu menghasilkan album baru khas buat tatapan peminat yang sering merindui suara gemersiknya.

Pernah dikenali sebagai Ratu Jingles suatu ketika dahulu kerana kerap menyanyikan lagu-lagu iklan bagi siaran televisyen tempatan, Salamiah yang juga ibu kepada penyanyi Atilia kini boleh berbangga kerana kemunculannya di pentas masih lagi mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Antara lagu malar segar yang diberi nafas baru dan sentuhan berbeza oleh komposer terkenal Aubrey Suwito adalah seperti "Bintang Malam", "Malam Bulan Dipagar Bintang", "Nak Dara Rindu", "Mahligai Kayangan" dan "Boleh Dilihat Dipegang Jangan".

Sebuah lagu berjudul "Aku" yang asalnya bertajuk "Cahaya" telah ditukar kerana lagu tersebut lebih mencerminkan kisah hidupnya sebelum ini turut dimuatkan dalam album berkenaan.

Dato' Siti Nurhaliza (Fragmen) 
Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan album baru, penyanyi nombor satu negara Dato' Siti Nurhaliza akhirnya tampill dengan album yang memuatkan sembilan buah lagu.

Album yang sarat dengan nilai, kasih dan semangat ini turut mengandungi sebuah lagu berjudul "Jaga Dia Untukku" yang ditujukan khas buat suami tercinta yang mana menceritakan perasaannya apabila Datuk K ditimpa kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Selain Aubrey Suwito yang bertindak sebagai penerbit album, Siti turut bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal lain seperti Faizal Tahir, Mike Chan, Awi Rafael, Hamid Mufari dan ramai lagi.

Antara lagu yang dimuatkan adalah "Aku", "Mula Dan Akhir", "Terbaik Bagimu", "Lebih Indah", "Warna Dunia" dan lain-lain lagi.

Wings (Menakluk Kosmos) 
Walaupun album ini pernah dicetak rompak dan majlis pelancarannya dikatakan tidak begitu lancar namun kemelut tersebut tidak menjadi penghalang album ini dicalonkan sebagai lima terbaik pada AIM kali ini.

Lagenda rock tanah air yang tidak asing lagi ini dianggotai oleh Awie, Joe, Black dan Eddie telah bergabung semula bagi menghasilkan album studio yang ke-17 sepanjang hayat mereka sebagai anak seni di dalam industri muzik tempatan.

Antara lagu yang terkandung di dalam album tersebut adalah "Menakluk Kosmos", "Ingatkan Dia", "Bisa Yang Tertunda", "Gurindam Masyar" dan banyak lagi.

Album yang diterbitkan oleh KRU Music ini pastinya menjadi pengubat rindu kepada para peminat kumpulan rock ini dan adakah album ini bakal dinobatkan sebagai Album Terbaik? Sama-sama kita nantikan tidak lama lagi!

Shila Amzah (Shila Amzah) 
Penyanyi wanita yang semakin mekar namanya di persada muzik China ini turut tercalon di dalam kategori utama ini dengan album yang diberi judul nama pentasnya sendiri iaitu Shila Amzah.
Album berentak pop ini mengandungi tujuh buah lagu dan kebanyakannya telah dicipta sendiri oleh puteri sulung kepada penyanyi veteran ND Lala ini.

Lagu yang dimuatkan di dalam album berkenaan adalah "Sedar", "Masih Aku Cinta", "Cinta Hati", "Tulus", "Maaf", "Patah Seribu" dan juga "Xia Yi Bu" yang merupakan lagu "Patah Seribu" dalam versi Bahasa Mandarin.

Khabarnya lagu-lagu tersebut terhasil di saat hubungan cinta Shila dan Sharnaaz Ahmad terputus di pertengahan jalan, dan adakah hubungan penyanyi muda dengan pihak media yang sedikit tegang baru-baru ini sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan para juri?

Sama-sama kita saksikan siapakah pemenangnya pada Disember nanti!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...