Sunday, November 9, 2014

Stacy mengaku silap lirik


“Jika difikirkan secara logik, adakah saya akan menyanyikan lagu Irama Malaysia dengan cara yang sama seperti Dato’ Siti Nurhaliza? Kalau macam itu, baik penyanyi asal sahaja yang nyanyikan. Itulah namanya kelainan, kalau saya buat cara yang sama, tak menjadilah temanya,” ujar Stacy ketika diminta mengulas mengenai kritikan pedas yang diterimanya selepas mempersembahkan lagu ‘Cindai’ nyanyian asal Dato’ Siti Nurhaliza di malam kemuncak Anugerah Skrin 2014.

“Saya berkata begini bukan kerana tidak menghormat penulis lirik lagu ‘Cindai’. Tapi sesetengah pihak juga perlu menghormati saya yang sanggup menerima tawaran pihak produksi untuk menyanyikan lagu tersebut dan menampilkan kelainan. Ikutkan hati saya tak mahu, sebab saya sudah agak pasti ada isu yang timbul,” katanya lagi.

Pada mulanya, Stacy agak ragu-ragu untuk menerima tawaran menyanyikan lagu ini kerana dia sedar bahawa lagu berirama Tradisional seperti ‘Cindai’ bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasannya. Apabila diberitahu yang Anugerah Skrin 2014 mahu menampilkan kelainan, barulah Stacy menerima tawaran tersebut.

“Bila pihak TV3 dan produksi menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ‘Cindai’, saya memikirkan tawaran itu dahulu. Saya akhirnya terima tawaran mereka selepas pihak produksi mengusulkan supaya saya berikan kelainan dalam lagu tersebut. Mereka juga mahu saya menyanyikan lagu ‘Cindai’ dengan cara saya yang tersendiri.

Kalau mereka suruh saya nyanyi ikut irama asal, memang saya sendiri tak mahu kerana saya tahu kemampuan saya, saya bukan penyanyi lagu Irama Malaysia. Tempo lagu tersebut pun dinaikkan sedikit, versi yang saya bawakan lebih rancak berbanding versi asal,” jelas Stacy ketika dihubungi GUA.

Terkilan dengan komen pedas berbaur kurang enak dari penulis lirik lagu ‘Cindai’, Hairul Anuar Harun di laman Facebook, Stacy tidak kisah jika dia diberikan komen membina untuk meningkatkan mutu persembahannya.

“Saya sedih dan terkilan apabila penulis lirik komen sebegitu rupa. Komen yang diberikan agak kurang enak dan seakan tidak profesional. Kalau saya diberikan kritikan yang membina, bolehlah saya terima untuk memperbaiki persembahan saya pada masa akan datang. Tapi kalau saya nak diberikan komen berbaur kesat, itu memang tak patut,” luahnya.

Mengakui yang dia ada tersilap lirik sewaktu menyampaikan lagu tersebut, Stacy harap semua pihak faham dengan situasinya yang harus menyampaikan lagu sambil menyanyi, menari dan mengalunkan lenggok lagu Irama Malaysia.

“Ya, saya akui saya ada silap lirik. Penyanyi mana yang tidak pernah silap? Lagi pun ini bukan lagu asal saya. Saya harus menyanyi, mengingati lirik, mengingati rentak tarian dan mengalunkan lenggok lagu. Kalau orang biasa, memang saya tak ambil pusing dan anggap mereka sebagai ‘haters’ sahaja. Tetapi ini sendiri datang dari penulis lirik, memang tidak seharusnya berlaku.

Dalam perkembangan terbaru, Stacy bakal menjadi jurulatih bagi program realiti terbaru terbitan TV9, ‘Pop Crew’. Stacy bersetuju untuk menjadi jurulatih program ini kerana konsepnya yang menampilkan kumpulan anak muda yang boleh menyanyi dan menari. Selain itu, Stacy sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Muzik Muzik 29.

“Saya bakal bertanding membawakan lagu ‘Gilalah’. Menerusi persembahan kali ini, saya bakal membawakan kelainan dari segi tarian. Jika sebelum ini tarian yang saya paparkan lebih ke arah ‘fun’, kini saya mengatur strategi baru bagi menampilkan sesuatu yang berbeza,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...