Saturday, December 8, 2012

Stacy pening tak dapat menari



Gadis ini sememangnya dikenali dengan aksi lincah di atas pentas setiap kali membuat persembahan.

Namun, Stracie Angie Anam atau Stacy, 22, mengakui ‘pening’ memikirkan persembahan yang bakal dibawa di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-27, 6 Januari ini.

Meskipun bukan asing lagi di pentas AJL, kata Stacy, bezanya ini kali pertama dia akan membawakan lagu berentak balada iaitu Pelangi Senja.

“Memang saya belum terfikir konsep persembahan, tetapi saya ada meminta bantuan pengarah klip video lagu ini, Ghaz Abu Bakar.

“Buat masa ini, saya serahkan kepada idea dia untuk mencorakkan persembahan nanti. Selebihnya, saya akan fikirkan kemudian,” katanya kepada Zass.

Walaupun sebuah lagi lagu nyanyiannya, Kasanova tidak berjaya ke peringkat akhir, Stacy berkata, dia tidak terkilan.

“Pada mulanya, memang rasa ralat kerana saya teringin untuk menari seperti kebiasaan.

“Tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya dapat menumpukan perhatian penuh kepada satu lagu saja.

“Paling penting, saya dapat menunjukkan kekuatan vokal melalui lagu ini kelak,” katanya.

Jika dilihat penglibatan Stacy dalam AJL, sudah tiga kali dia ke pentas berprestij itu sebelum ini.

Namun, ternyata rezeki belum berpihak kepada anak kelahiran Sabah ini untuk merangkul sebarang anugerah.

Oleh itu, Stacy meletakkan harapan tinggi agar penyertaan kali keempat menerusi lagu ciptaan Taja dan lirik Tun Teja ini membuahkan hasil.

“Saya memang harap dapat menang kerana lagu ini mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rezeki dan saya serahkan keputusan kepada juri untuk menilai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Stacy mengakui jadualnya sangat padat menjelang hujung tahun ini.

“Sekarang saya sibuk dengan promosi AJL27 dan pelbagai undangan persembahan.

“Sepatutnya saya menyiapkan penggambaran klip video single terbaru, Bosan tetapi tidak sempat,” katanya yang akan melancarkan single itu, akhir Januari ini.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...