Thursday, October 30, 2014

GUA: Stacy Nafi Ubah Wajah


Jika dilihat penampilan terkini Stacy ketika ini pasti ramai mengakui penyanyi berasal dari Sabah ini semakin terserlah kecantikannya. Malah, timbul juga bisik-bisik negatif yang mendakwa penyanyi ini sudah pandai ‘buat muka’.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak itu, Stacy memberitahu dia sebenarnya tidak pernah buat sebarang rawatan kosmetik ke atas wajahnya. Bagaimanapun mengakui dia lebih bijak menjaga penampilan diri.

“Saya tak buat apa-apa pun. Mungkin orang nampak saya lain kerana kulit saya sudah semakin cerah dan penampilan saya kini sudah lebih baik daripada dahulu. Saya membesar dalam industri seni, jadi banyak perkara yang sudah saya pelajari, termasuklah penjagaaan wajah, kulit dan juga pemilihan pakaian. 

Sejujurnya, dahulu saya tak tahu menggunakan sun block, tapi kini saya sudah tahu kepentingan mengenakan sun block agar kulit kita tidak terdedah terus kepada cahaya matahari. Sama seperti teknik fotografi, saya sudah tahu bagaimana cara untuk mendapatkan gambar terbaik. Saya selalu berlatih di hadapan cermin untuk pastikan penampilan saya menyerlah. 

Selain itu, saya juga jaga pemakanan untuk kekalkan berat badan ideal. Dahulu berat badan saya pernah mencecah 56 kilogram dan kini saya berjaya kekalkan berat 48 kilogram. Saya juga amalkan pengambilan spirulina untuk kesihatan badan dan juga kulit,” ujar Stacy berterus-terang.


Penampilan terkini Stacy dalam program realiti Pop Krew

Dalam masa yang sama, penyanyi ini juga sempat mengulas tentang keupayaannya menjauhkan diri daripada sebarang kontroversi.  

“Saya tidak punya rahsia atau plan tertentu untuk elak kontroversi. Saya hanya menjadi diri sendiri. Mungkin saya terselamat daripada sebarang kontroversi kerana saya seorang yang suka menghabiskan masa di rumah serta banyak meluangkan masa dengan keluarga. Saya bukan seorang yang suka melepak dengan kawan-kawan terutama dengan mereka yang baru saya kenali. Tapi ini bukanlah bermakna saya ini terlalu memilih kawan, tetapi saya memang macam itu. Saya lebih selesa bersama keluarga. Keluarga adalah keutamaan saya,” ujar Stacy.

Mengulas tentang perhubungannya dengan Akim Ahmad, Stacy menjelaskan sehingga kini dia dan Akim masih berkawan baik.  Bagaimanapun, tidak ada perancangan untuk melangkah ke alam perkahwinan dalam waktu terdekat ini.

“Baik saya mahu pun dia (Akim), tidak pernah fikir atau bincang tentang kahwin. Masing-masing masih muda dan kami mahu fokus pada karier dahulu. Tentang perkahwinan, tunggulah dahulu. Tengoklah sejauh mana perhubungan kami boleh pergi,” ujar Stacy.

Sumber: GUA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...