Saturday, April 28, 2012

Stacy dan Alexa Key - Kimia Diantara Kita




Ahmad Dhani pilih Jac, bakal cipta lagu buktikan kehebatan vokal
Oleh: NURUL NAZRAH NAZARUDIN 
Tarikh: April 28, 2012

Berulang alik dari Jakarta ke Malaysia sejak bulan lalu demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai ‘sifu’ dalam program realiti Mania yang disiarkan di Astro Ria, pemuzik dan komposer dari Indonesia, Ahmad Dhani berhasrat mencipta lagu untuk Jaclyn Victor.

Memuji kelantangan dan kehebatan vokal Juara Malaysian Idol musim pertama itu, Ahmad Dhani melihat Jaclyn atau mesra disapa Jac sebagai penyanyi yang cukup berpotensi dan berbakat besar.

Dhani yang ditemui semasa majlis pelancaran album Ahmad Dhani & The Triad berjudul Istimewa di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, setiap kali melihat persembahan hebat Jac di konsert Mania setiap minggu, dia terfikir untuk menghasilkan lagu yang sesuai dengan vokal penyanyi itu.

Mengakui setiap penyanyi yang bertanding di dalam Mania mempunyai vokal yang tersendiri dan bagus, Dhani bagaimanapun merasakan kekurangan pencipta lagu di Malaysia merupakan salah satu sebab mengapa penyanyi di sini tidak berapa menonjol dengan lagu masing-masing.

“Pada pendapat saya, pengarang lagu di Malaysia cukup terhad dan tidak ramai berbanding di Indonesia. Oleh sebab itu, kebanyakan penyanyi yang bersuara bagus seperti Jaclyn Victor tidak mendapat peluang untuk menonjolkan vokalnya.

“Namun, saya akan buktikan vokal sebenar Jaclyn dengan menghasilkan lagu yang sesuai dengan vokalnya itu,” katanya yang turut mengagumi suara Shila Amzah.

Selain merancang menghasilkan lagu untuk Jaclyn, Dhani juga berhasrat mengajak Shila untuk menyanyikan lagu ciptaannya yang akan dimuatkan di dalam album berjudul Antara KL dan Jakarta.

“Banyak perancangan yang ada dalam fikiran saya. Kini, saya sedang fikir untuk mengajak Jaclyn dan Shila Amzah menyanyikan lagu ciptaan saya kerana selain Jaclyn saya lihat Shila juga mempunyai potensi dengan suaranya yang unik.

“Saya sudah dengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Shila Amzah, dan saya fikir saya boleh menghasilkan lagu yang lebih baik untuk suara seperti Shila,” katanya lagi.

Sebagai perancangan awal, Dhani kini sedang menjalin kerjasama dengan pihak Astro bagi menghasilkan album yang membariskan lima penyanyi dari Malaysia dan lima lagi penyanyi dari Indonesia.

Menurutnya, lima penyanyi dari Indonesia akan dipilih untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer dan pemuzik dari Malaysia sementara lima lagi penyanyi dari Malaysia akan menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Dhani sendiri.

“Setakat ini, perancangan untuk album itu sedang berjalan. Terbaru, Stacy sudah merakamkan lagu ciptaan saya berjudul Kimia Di Antara Kita duet bersama Alexa Key.

“Selain itu, artis Indonesia lain yang akan terlibat dalam album ini adalah Mahadewi yang akan menyanyikan lagu Yuna berjudul Cinta Sempurna dan Agnes Monica akan menyanyikan lagu ciptaan Aubrey Suwito berjudul Ingin Bersamamu,” katanya yang menganggap usaha itu sebagai salah satu cara untuk mempromosikan muzik Malaysia di Indonesia.


Masih kabur masa depan Dewa 19

Hampir dua dekad ‘menghambakan’ diri bersama kumpulan Dewa 19, Dhani bagaimanapun masih kabur akan masa depan kumpulan muzik terkenal Indonesia itu.

Mengakui pengunduran Once sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan karier Dewa 19, Dhani setakat ini masih belum merancang sebarang aktiviti yang melibatkan kumpulan itu.

“Selepas secara rasminya Once mengundurkan diri daripada Dewa 19 pada September 2010, kami (ahli kumpulan Dewa 19) masih tiada membuat sebarang perancangan.

“Tambahan pula, setiap ahli Dewa 19 masing-masing mempunyai komitmen sendiri seperti Andra yang sibuk dengan bandnya, Andra And The Backbone. Jelas sekali biarpun tanpa Dewa 19, mereka ini juga boleh berjaya,” katanya yang masih belum membuat keputusan untuk mencari pengganti Once.

Menurut bapa kepada tiga anak lelaki ini, selain sibuk mempromosikan projek di luar Dewa 19 iaitu yang terbaru Ahmad Dhani & The Triad, dia juga bakal muncul bersama kumpulan Mahadewa.

Ujarnya, kumpulan Mahadewa merupakan transformasi dari band Dewa 19 bagi mengubati rindu peminat kepada lagu-lagu kumpulan terkenal itu.

“Bagaimanapun, Mahadewa bukanlah disertai oleh ahli-ahli Dewa 19, sebaliknya saya seorang satu-satunya anggota asal Dewa 19 yang menyertai Mahadewa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...